20 JAN : Sebuah akhbar bahasa Cina disiasat susulan kandungan dalam talian yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil siasatan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terhadap China Press di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Peruntukan itu berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
Menurut Fahmi, siasatan dijalankan selepas menerima aduan rasmi orang awam.
“Sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan kesilapan terjemahan titah itu berkait isu bahasa Melayu yang disentuh Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja, semalam.
Ketika menyentuh soal sistem pendidikan, baginda menitahkan sesiapa yang tidak menerima bahasa Melayu agar tidak tinggal di negara ini.
“Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa sebagai pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Jika hendak membuat sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.
Dalam pada itu, Fahmi menggesa Majlis Media Malaysia memainkan peranan dalam perkara tersebut.
Katanya, ia bagi memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat juga menjadi platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan atau isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.
“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya melalui media sosial serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.