20 JAN : Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 mula disalurkan, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setelah penambahbaikan, STR kini disepadukan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Seperti yang saya umumkan dalam Perutusan Tahun Baharu 2026, Kerajaan MADANI hari ini mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026.
“Penambahbaikan kepada STR, yang kini disepadukan dengan pelaksanaan SARA, memastikan golongan berkelayakan menerima bantuan yang lebih konsisten dan berkesinambungan dalam memenuhi keperluan asas,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, dalam agihan fasa ini, seramai 5 juta penerima akan menerima manfaat tersebut.
“Seramai 5 juta penerima meliputi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan akan menerima antara RM100 dan RM500, mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.
Jelas Anwar, STR disediakan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan untuk memberi ruang kewangan pada waktu puncak seperti musim perayaan manakala SARA berfungsi sebagai sokongan asas bulanan yang stabil.
“Kerajaan MADANI giat memastikan setiap rakyat dapat hidup bermaruah tanpa ada yang terpinggir dalam mengharungi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” katanya.