Darurat tentera : Bekas PM Korea dipenjara 23 tahun
21 JAN : Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo dijatuhi hukuman penjara 23 tahun, hari ini.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Daerah Pusat Seoul susulan peranan penting beliau dalam ‘pemberontakan’ yang diikuti pengisytiharan darurat tentera oleh bekas Presiden, Yoon Suk Yeol pada Disember 2024.
Duck-soo menjadi bekas anggota Kabinet pertama negara itu yang disabitkan kesalahan jenayah berkaitan darurat tentera.
Hakim berkata pemimpin berusia 76 tahun itu dianggap sebagai individu utama yang membantu mewujudkan gambaran seolah-olah mesyuarat Kabinet sudah diadakan bagi memudahkan pengisytiharan darurat tersebut.
Beliau kemudiannya ditahan serta-merta selepas keputusan dibacakan.
Mahkamah menegaskan pengisytiharan darurat tentera itu bertujuan merosakkan susunan perlembagaan dan Duck-soo gagal menghalang penyalahgunaan kuasa darurat presiden ketika itu.
Perbicaraan terhadap Suk Yeol dijadualkan bulan depan.