21 JAN : Kerajaan bertegas kesemua perolehan pertahanan perlu diteliti melalui rangka kerja Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mengelakkan sebarang ketirisan berlaku.
Ini termasuk semua projek perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibekukan Jumaat lalu.
“Saya tegaskan pembekuan ini diteruskan dan semua perolehan ATM mesti dilihat melalui rangka kerja DIPN, diputuskan secara lebih telus dan dipertanggungjawabkan, bagi mengelak sebarang kemungkinan ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran DIPN, hari ini.
DIPN merupakan pelan strategik jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pihak luar dalam soal keselamatan dan pertahanan serta membina industri pertahanan tempatan yang kendiri, lestari dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui DIPN perolehan dipastikan dibuat mengikut keperluan sebenar operasi serta mengurangkan kebergantungan terhadap pihak luar.
Jumaat lalu, Anwar membekukan semua keputusan perolehan bagi ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terpalit kes rasuah sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Menyentuh soal rasuah yang berlaku dalam ATM, Anwar menegaskan tindakan segelintir pegawai itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan keseluruhan pasukan.
“Ini kerana kita baru lagi bicara soal skandal kewangan dan sekarang masih dengan isu rasuah dan penyelewengan dana. Tentunya ia tidak harus mewakili seluruh anggota, sama ada di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan agensi penguatkuasaan.
“Mudah-mudahan episod gelap dan malap yang diungkapkan sebagai ‘puting beliung’ walaupun puting beliung jarang berlaku di Malaysia, tidak memberikan gambaran negatif,” katanya.
