21 JAN : Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi serta RON97 dinaikkan sebanyak 2 sen kepada masing-masing RM2.54 dan RM3.10 seliter sehingga 28 Januari ini.
Selain itu, harga runcit diesel di Semenanjung turut dinaikkan sebanyak 4 sen kepada RM2.88 seliter.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan mengumumkan peningkatan itu seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
“Kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.10 seliter dan RON95 tanpa subsidi pada RM 2.54 seliter manakala diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.88 seliter bagi tempoh 22 Januari 2026 hingga 28 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.
Menurut MoF, harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, MoF berkata kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut MoF.