21 JAN : Beberapa pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hala tuju pendidikan negara menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan melalui penambahbaikan struktur persekolahan dan kaedah penilaian di peringkat sekolah.
Pensyarah Akademik Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Rusmawani Ujang berkata pelaksanaan semula penilaian pembelajaran baharu menerusi Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga mampu menghidupkan semula semangat persaingan seperti sistem Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.
Katanya, sistem itu mampu mewujudkan persaingan sihat dan cabaran akademik yang mendorong pelajar berusaha lebih gigih untuk mencapai kecemerlangan.

“Penilaian di peringkat Tingkatan Tiga dilihat sebagai langkah yang baik kerana ia mengembalikan sistem peperiksaan sebelum ini seperti PMR dan SRP di mana pelajar yang tidak melepasi tahap tertentu tidak dibenarkan ke Tingkatan Empat.
“Ia dapat mewujudkan persaingan sihat, cabaran serta desakan yang mampu mendorong pelajar berusaha lebih gigih kerana apabila berdepan tekanan, seseorang itu berupaya mencapai potensi dan melakukan perkara yang luar biasa,” katanya kepada BBCPortal.
Semalam, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif baharu dalam sistem pendidikan negara menerusi RPN 2026-2035 yang merangkumi kemasukan murid berumur 6 tahun ke Tahun Satu, pengenalan semula penilaian standard menerusi Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga serta penekanan terhadap subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Namun, Rusmawani berpandangan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat tidak sesuai dilaksanakan kerana pelajar berumur 10 tahun masih berada pada fasa awal peringkat akademik dan memerlukan masa untuk matang sebelum menghadapi cabaran pembelajaran yang lebih mencabar.
“Penilaian lebih sesuai dikekalkan pada Tahun Enam kerana jika dilaksanakan pada Tahun Empat, ia tidak memberi banyak manfaat kepada guru untuk menilai dan memantau pencapaian murid secara menyeluruh.
“Selain itu,murid pada umur tersebut juga masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tahap pembelajaran yang lebih mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Rusmawani berkata penekanan terhadap subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah dilihat penting dalam membina asas akademik yang kukuh serta menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.
“Kelima-lima subjek teras ini bukan sahaja membentuk kekuatan akademik pelajar, malah berperanan besar dalam membina pemikiran kritikal, kefahaman konsep dan jati diri sejak peringkat awal persekolahan.
“Dalam konteks kemahiran abad ke-21, pelajar bukan hanya dididik untuk cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya perlu memiliki kemahiran hidup dan elemen tersebut sebenarnya terkandung secara menyeluruh dalam kelima-lima subjek itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan sesi persekolahan Tahun Satu untuk kanak-kanak bermula pada usia 6 tahun membabitkan ibu bapa serta anak yang benar-benar bersedia mulai tahun depan dilihat sebagai langkah yang selari dengan realiti pembelajaran awal kanak-kanak di Malaysia ketika ini.
“Kanak-kanak berumur 6 tahun wajar memasuki Tahun Satu kerana senario pembelajaran di Malaysia menunjukkan sebahagian kanak-kanak seawal usia 2 tahun sudah didedahkan kepada aktiviti asas seperti contengan, pengenalan huruf ABC dan pembelajaran berasaskan permainan selain dilatih bergaul dengan rakan sebaya.
“Pembaharuan ini satu langkah positif yang berpotensi meningkatkan pencapaian akademik di samping dapat mengoptimumkan tempoh persekolahan dari segi usia,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL