Tumpu agenda negara yang lebih besar, elak isu kaum
22 JAN : Perdana Menteri menegaskan keperluan negara untuk keluar daripada perbalahan perkauman yang memecah-belahkan dan menumpu kepada agenda negara yang lebih besar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua mutu pendidikan perlu ditingkatkan agar generasi muda dapat bersaing di peringkat global.
Beliau turut menyentuh soal penguasaan Bahasa Melayu yang mesti diperkukuh di samping bahasa-bahasa lain.
Tegasnya, kepelbagaian bahasa di negara ini tidak sepatutnya menjadi modal perbalahan.
“Dalam ucapan, saya menekankan keperluan untuk negara memperbetulkan keutamaan supaya tidak terus terperangkap dalam polemik perkauman yang memecah-belahkan, sebaliknya memberi tumpuan meningkatkan mutu pendidikan agar anak-anak kita mampu bersaing di peringkat dunia.
Saya turut menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu mesti diperkukuh, di samping menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ibunda seperti bahasa Cina dan Tamil.
“Kepelbagaian bahasa ini harus menjadi kekuatan negara, bukan modal politik untuk menghasut kebencian dan mencetus perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting, hari ini.
Anwar meluangkan masa menyantuni warga sekolah tersebut dan komuniti Cina sekitar kawasan tersebut.
Beliau menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diterima termasuk daripada guru-guru dan ibu bapa.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan generasi muda hari ini perlu menguasai Sains, Matematik, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sejak di bangku sekolah lagi memandangkan ia merupakan bekal untuk masa depan mereka.
Pada masa yang sama, Anwar berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah membaiki sekolah, melatih guru dan menyediakan kemudahan terbaik demi keselesaan guru serta anak-anak.
“Seiring pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, kemasukan prasekolah pada usia 5 tahun dan Darjah 1 pada usia 6 tahun akan dilaksanakan secara sukarela bermula tahun hadapan.
“Ini menuntut kesiapsiagaan kemudahan, tenaga pengajar serta persekitaran pembelajaran yang selesa untuk murid dan guru,” katanya.
Beliau turut meluluskan peruntukan RM13.5 juta bagi penambahan tujuh bilik darjah di SJKC Perting yang akan diperluas ke sekolah-sekolah lain mengikut keperluan.
“Ini bagi memastikan kesiapsiagaan melaksanakan dasar baharu ini. Kerana itu saya menuntut pejabat daerah dan semua agensi berkaitan memantau pelaksanaan projek ini secara rapat.
“Kegagalan di peringkat pelaksanaan termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan, bukan sahaja menjejaskan keselesaan pembelajaran, malah masa depan anak-anak,” katanya.
