23 JAN : Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan salah guna kedudukan bagi suapan dan menerima wang berjumlah lebih RM752,000 serta pecah amanah RM3 juta.
Mohd Nizam, 60, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Faham, tidak mengaku bersalah Yang Arif,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT menggunakan kedudukan untuk suapan wang RM267,481.90 dan RM285,000.
Beliau juga dituduh melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barang hari raya kepada TKAT.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap sejumlah RM3 juta di akaun bank milik TKAT bagi pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT, 4 Oktober 2024.
Sementara pertuduhan keempat, Mohd Nizam selaku PAT ATM menerima untuk diri sendiri wang RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat.
Hakim kemudiannya membenarkan beliau diikat jamin RM180,000 terhadap semua pertuduhan.