PM saran batal projek ternak babi di Bukit Tagar
23 JAN : Projek penternakan babi berpusat yang dirancang di Bukit Tagar, Hulu Selangor disaran dibatalkan dan dipertimbang untuk dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan perkara itu, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin Seksyen 8, hari ini.
Menurutnya, isu tersebut dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini memandangkan ia mencetuskan kebimbangan rakyat dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pemilihan lokasi memainkan peranan meski kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk menggunakan teknologi yang terbaik.
“Walaupun teknologi itu terbaik tapi di kawasan yang menimbul keresahan itu juga tidak wajar diteruskan.
“Kita tidak boleh pandang ringan dan menganggap perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan membantah keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA