24 JAN : Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan mencerminkan keyakinan rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mandat yang sekali lagi diberi kepada BN menunjukkan rakyat yakin terhadap kesinambungan kepimpinan dan kestabilan di kawasan berkenaan.
“Terima kasih Kinabatangan dan Lamag. Syukur Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag atas mandat yang telah diberikan dalam pilihan raya kecil ini.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepimpinan dan kestabilan yang diharapkan untuk kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, malam ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kemenangan itu merupakan amanah besar buat dua wakilnya di kerusi tersebut untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kemenangan saudara Naim Kurniawan Moktar di Parlimen Kinabatangan dan saudara Mohd Ismail Ayob (Miha) di DUN Lamag adalah sebuah amanah besar untuk meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang sepanjang hayatnya meletakkan Kinabatangan dan Lamag sebagai keutamaan perjuangan,” katanya.
Beliau sempat menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN dan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah yang bersama-sama memastikan kemenangan itu.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam mengumumkan keputusan rasmi bagi dua PKR tersebut di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag.
Naim yang juga anak Allahyarham Bung Moktar menang besar dengan majoriti 14,214 undi apabila mendapat 19,852 undi.
Sementara di DUN Lamag, Miha memenangi 7,269 undi selepas pengiraan semua saluran selesai dengan majoriti 5,681 undi.
