PM seru hentikan kartel di semua sektor
24 JAN : Semua pihak diingatkan agar menghentikan segala amalan kartel yang menekan rakyat dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kewujudan kartel itu menekan rakyat dengan kenaikan harga yang melampau.
“Jangan bergantung pada kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan.
“Kerajaan tidak tambah cukai, dari mana datang pendapatan? Dari penyasaran subsidi, menghentikan kartel, penyeludupan, rasuah (dan) rompakan yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, hari ini.
Menyentuh soal Kementerian Kesihatan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dasar industri itu menunjukkan sistem perolehan negara ini harus diperbaiki.
“Tak kan kita nak tunggu 70 tahun untuk ubat generik (alternatif) ini? Berapa puluh bilion yang hilang? Beli ubat terbaik dari Amerika Syarikat (AS) harga RM100 sebiji umpamanya tapi kita boleh beli RM10 ubat generik dari negara lain.
“Sebab itu kita dapat selamatkan hampir RM1 bilion hanya dengan memilih ubat yang menjamin keselamatan dan kesihatan tapi tidak terikat dengan mentaliti lapuk untuk rasa kagum dengan ubat dari Eropah atau AS yang terlalu mahal,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat dan melatih anak-anak tempatan untuk memulakan industri seperti ubat untuk Kementerian Kesihatan mahupun dron untuk Kementerian Pertahanan.
“Janganlah bergantung kepada kartel. Di (Kementerian) Pertahanan kartel, di (kementerian) Kesihatan kartel, di JKR (Jabatan Kerja Raya) kartel.
“Jadi akhirnya, kita ini hidup ditekan kelompok kartel dengan harga yang melambung tinggi.
“Ayam pun kartel. Dulu kita bayar RM1.2 bilion untuk jaga harga ayam supaya rakyat tidak terbeban. Kita hapus kartel ini dan syarikat jual dengan harga yang munasabah,” katanya.