Kuat kuasa had umur 16 tahun guna media sosial dijangka mula Julai
26 JAN : Penguatkuasaan undang-undang bagi had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial dijangka bermula Julai ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata setakat ini pelaksanaan tersebut masih dalam fasa ujian bagi menilai kaedah paling sesuai sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA) kami sudah mulakan perbincangan dengan penyedia platform. Jadi sekarang ini kita dalam peringkat regulatory sandbox untuk kita cari cara yang paling baik, berkesan serta selamat untuk melakukan pengesahan had umur ini.
“Buat masa ini kita dalam peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform. Sasaran kita untuk laksanakan pada tahun ini iaitu pada suku ketiga atau keempat tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan penguatkuasaan itu sebagai usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam talian.
Mengulas soal BAP, Nie Ching berkata peruntukan sebanyak RM800 juta itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.
“Di Johor, seramai 586,153 murid menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta. Untuk daerah Kulai sahaja, kami mempunyai 58,264 orang murid dengan sumbangan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM8.7 juta.
“Jadi, hari ini kita datang ke SK Putra Utama dan secara simbolik kita telah membuat serahan kepada ibu bapa terpilih,” katanya.