26 JAN : Sistem kerajaan yang disifatkan masih belum kemas membuka ruang kepada mereka yang mencari kesempatan dan menyebabkan ketirisan dana awam.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan lebih banyak dana yang hilang dan tiris dapat diselamatkan di negara ini sekiranya usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus terus dipertingkatkan dalam perkhidmatan awam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akui di sebalik kecemerlangan sebahagian besar kakitangan awam dalam menjalankan tugas, masih ada bibit-bibit kerosakan dan kepincangan terutama melibatkan penguatkuasaan.
“Saya tidak boleh menafikan sebagai anak Malaysia, saya bangga dengan prestasi (Jabatan) Kastam Diraja (Malaysia). Dalam dua tahun lebih kita berjaya menghasilkan tambahan RM15.5 bilion.
“Itu kerana rakyat, hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana sistem kita masih belum kemas sehingga memungkinkan ada kelompok yang mencari kesempatan, menyebabkan ketirisan (dan) kehilangan dana.
“Kalau tanya saya, adakah ini mencukupi, saya tidak yakin jumlah ini adalah RM15.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia 2025, hari ini.