Malaysia bimbang ketegangan AS-Iran kian memuncak
27 JAN : Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketegangan itu berisiko mencetuskan konflik terbuka di rantau Timur Tengah.
Menurut beliau, penumpuan aset ketenteraan serta retorik awam yang semakin keras daripada kedua-dua pihak mengecilkan ruang untuk menahan diri pada saat ia paling diperlukan.
“Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan memberi kesan besar kepada Timur Tengah yang sememangnya rapuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, risiko peningkatan konflik secara proksi, ancaman keselamatan maritim serta kejutan ekonomi berpotensi melangkaui sempadan wilayah terlibat, sekali gus menjejaskan kestabilan serantau dan global.
Beliau menegaskan tiada kepentingan strategik yang boleh menghalalkan kemusnahan dari segi kemanusiaan dan material akibat peperangan.
Sehubungan itu, Anwar menekankan bahawa keutamaan terhadap keamanan mesti mengatasi semua pertimbangan lain, sambil menggesa semua pihak agar berundur daripada jurang konflik dan kembali komited kepada usaha diplomasi secara serius dan segera.
“Saluran komunikasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia turut memuji peranan konstruktif Oman dalam memudah cara dialog dan mengurangkan ketegangan.
“Kami menggesa semua negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan setiap ruang yang ada bagi menggalakkan usaha untuk meredakan ketegangan serta mengekalkan tahap kawalan tertinggi demi kestabilan serantau dan antarabangsa,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA