Kecewa, PM beri masa seminggu kepada penjawat awam
26 JAN : Perdana Menteri akui sudah hilang sabar dengan kelemahan berterusan pegawai-pegawai kerajaan dalam penguatkuasaan undang-undang hingga ‘membenarkan’ rasuah, pencerobohan, penyeludupan dan kegiatan gelap berlaku.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada keras menuntut penjawat awam menilai kemampuan memikul amanah dengan tegas dan berani atau berundur bagi memberi laluan kepada orang lain jika merasakan amanah itu terlalu berat atau godaan rasuah terlalu mengiurkan.
“Kelemahan tidak boleh dibiarkan. Baik dari segi pencerobohan, penyeludupan, bertolak ansur dengan kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku dan adakalanya dengan ruang dan keizinan badan penguatkuasa.
“Jadi saya nak berikan anjuran yang agak tegas dan singkat saja. Sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan. Kalau saudara diamanahkan dan rasanya kurang mampu melaksanakan kerana cabaran terlalu besar, ujian berat dan tarikan atau pelawaan terlalu menarik, saya syorkan dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua atau kepada saya sendiri, menteri ataupun peguam negara…beritahu kita belum sedia untuk ambil langkah berani, oleh itu berikan laluan kepada orang lain.
“Kenapa saya pilih untuk menyatakan ini kerana saya sudah sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang yang wajib diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan bertegas, negara tidak boleh terus membiarkan penyeludupan berlaku secara terang-terangan akibat kelompongan kawalan sempadan, sambil mempersoalkan kegagalan moral dan nilai dalam kalangan pihak berautoriti.
“Bagaimana negara ini boleh izinkan penyeludupan terang-terangan? Apa kita buta tidak dapat melihat bolosnya sempadan? Apakah orang kita ini hilang nilainya?
“Saya tidak mengerti sama sekali, sehingga kita boleh mengizinkan keterlanjuran ini berlaku,” katanya.
Beliau turut menegur pegawai-pegawai atasan berjawatan tinggi yang sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Yang pegang jawatan…bintang-bintang bergemerlapan itu bukan calang-calang orang, bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama. Bintang-bintang bergemerlapan itu harus mendorong kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak.
“Jangan kita ambil sikap sambil lewa dan mudah memaafkan dan boleh berlaku secara terus-menerus. Saya menyeru rakan-rakan untuk segera bertindak,” katanya.
