28 JAN : Arab Saudi tidak membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan bagi sebarang tindakan ketenteraan untuk menyerang Iran.
Perkara itu dilaporkan Agensi Berita Saudi (SPA) susulan kenyataan selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, awal hari ini.
Baginda turut menegaskan komitmen Riyadh untuk menyelesaikan pertikaian melalui dialog, sekali gus memperkukuh keselamatan dan kestabilan di rantau itu.
Sementara dalam kenyataan berasingan, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menzahirkan penghargaan atas sokongan negara-negara Islam terhadap Tehran terutama dalam mendepani ketegangan semasa.
Ketegangan Amerika Syarikat (AS) dengan Iran semakin memuncak susulan tindakan keras Iran terhadap protes dalaman selain pertikaian berpanjangan berkaitan sekatan, keselamatan serantau dan pengaruh ketenteraan.
Presiden AS, Donald Trump mendakwa satu lagi armada tentera laut sedang menuju ke Iran.
Sebelum ini AS mengerahkan kumpulan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama beberapa kapal pemusnah berpandu ke rantau itu.