28 JAN : Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan dakwaan tular di media sosial kononnya terdapat kira-kira 10,000 kekosongan rayuan haji bagi musim haji 2026 adalah tidak benar.
Menurut kenyataan rasmi TH di Facebook hari ini, keseluruhan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim 2026 sudah pun dipenuhi.
“TH menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat kira-kira 10,000 kekosongan rayuan menunaikan ibadah haji bagi musim haji 2026.
“Ketika ini, keseluruhan kuota jemaah haji Malaysia sudah dipenuhi dan berada dalam fasa terakhir proses tawaran haji yang dilaksanakan mengikut prosedur dan kriteria yang sudah ditetapkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, TH menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan bakal jemaah.
“Maklumat rasmi berkaitan urusan haji hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi Tabung Haji,” menurut TH.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan mengenai ribuan kekosongan haji yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pendeposit dan bakal jemaah.