29 JAN : Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi kerjasama penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana kakitangan di bawah kementerian itu.
“NRES mengambil maklum mengenai laporan penahanan pegawai kanan JAS oleh SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
“Saya ingin menegaskan NRES memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan secara telus dan terperinci.
“NRES akan terus memantau perkembangan kes ini dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan susulan di peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu, hari ini.
Keduanya disiasat di bawah Akta SPRM 2009 selepas disyaki terbabit rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Dua pegawai tersebut akan direman di Mahkamah Putrajaya, esok.
Bagi memastikan kelangsungan operasi jabatan tersebut, Arthur memaklumkan sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk memastikan segala fungsi dan operasi harian JAS berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dan pemantauan alam sekitar tetap diutamakan.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan integriti adalah teras utama dalam memelihara kelestarian alam sekitar negara.
Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.