Tiada kompromi pelanggaran amanah dalam ATM
29 JAN : Perdana Menteri bertegas tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu disampaikan kepada Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, hari ini.
Menurutnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara perlu diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti.
“Saya menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara ini tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, saya menekankan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Azhan bagi membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA