30 JAN : Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat menyalahguna kuasa atau rasuah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerjasama akan diberikan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan.
“Berikutan isu yang berbangkit muktahir ini berkenaan dengan tangkapan dan siasatan isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan penjawat awam terutama di peringkat pengurusan tertinggi, saya ingin menegaskan bahawa perkhidmatan awam tidak akan sama sekali berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut lunas perundangan yang ditetapkan sekiranya didapati bersalah.
“Oleh yang demikian, Perkhidmatan Awam akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara kepada pihak yang sedang disiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola itu penting untuk dijunjung pada setiap masa selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar Perkhidmatan Awam.
“Ia bagi memastikan imej dan kredibiliti Perkhidmatan Awam tidak dicemari dengan perilaku yang boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi teras negara, seperti mana yang sering ditekankan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras dengan aspirasi dibawah Kerajaan Malaysia MADANI,” katanya.