30 JAN : Usaha memajukan sektor pelancongan tidak boleh hanya digalas di bahu kerajaan sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi membantu mengangkat martabat negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan satu daripada intinya yang memerlukan penyertaan semua. Sikap kita, senyuman kita, kerja kita, kesediaan kita mengolah cara-cara tarikan baharu.
“Sektor kerajaan, sektor awam, sektor swasta, badan-badan pelancongan, syarikat, semua ini mengambil peranan melihat secara positif bagaimana boleh kita usahakan ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Cerita Malaysia Kita sempena TMM2026, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, semangat berpasukan dan sokongan padu menjadi kunci kejayaan.
Pada masa sama katanya, perbalahan serta sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama perlu dikurangkan.
“Ini bukan soal menang atau kalah. Usaha ini memerlukan penyertaan semua pihak serta komitmen untuk memastikan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya di negara ini, sambil menerima sokongan dan dorongan yang diperlukan,” kata beliau.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia berpotensi menjadi negara hebat dibuktikan dengan petunjuk pertumbuhan ekonomi ketika ini yang menggalakkan.