31 JAN : Polis akan menetapkan status kes serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bergantung kepada perkembangan dan petunjuk baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menjalankan tugas.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada sikap profesional pasukan polis. Sama ada kes ini akan dikategorikan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atau tidak bergantung kepada progres dan petunjuk baharu. Kita biarkan dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Fasa 2 di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang arahan akan diberi kepada pasukan penyiasat kes itu bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada siasatan.
“Saya tidak bercadang untuk memberikan apa-apa pengarahan yang bersifat konklusif terhadap status sesuatu siasatan kerana ia boleh dianggap mengganggu sekiranya pihak polis menemui punca atau petunjuk baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sudah menzahirkan rasa simpati secara peribadi kepada Rafizi terhadap insiden tersebut.
Dalam kejadian 13 Ogos lalu, mangsa yang berusia 12 tahun itu diserang dan dicucuk dengan jarum suntikan ketika sedang menuju ke kereta di hadapan sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Rafizi di mana ketika kejadian beliau dan isteri bersama anak mereka baru memasuki kereta untuk beredar namun anaknya tiba-tiba ditarik seorang lelaki sebelum disuntik.
Namun anak Rafizi disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Semalam, Rafizi dilaporkan berkata akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin berkait kes serangan ke atas anaknya itu.
Ahli Parlimen Pandan itu berhasrat untuk mengusulkan status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) susulan tiada sebarang perkembangan dimaklumkan kepadanya selepas enam bulan kes tersebut berlaku.
Kata Rafizi, perkembangan siasatan hanya diketahui melalui laporan media pada November lalu.
