31 JAN : Pasaran saham Indonesia berdepan tekanan hebat selepas pelabur semakin bimbang terhadap hala tuju ekonomi negara itu di bawah kepimpinan Presiden, Prabowo Subianto.
Ia susulan penjualan saham besar-besaran yang berlaku sejak minggu lalu dan kejatuhan pasaran disifatkan sebagai yang terburuk sejak Krisis Kewangan Asia 1998.
Kejatuhan pasaran tercetus selepas penyedia indeks global, MSCI Inc memberi amaran mengenai risiko pelaburan di Indonesia menyebabkan Indeks Komposit Jakarta susut selama dua hari berturut-turut.
Walaupun pihak berkuasa memberi jaminan pembaharuan bagi menenangkan pasaran, beberapa pengurus dana antarabangsa menjangka keadaan ekuiti negara itu akan terus merosot.
Kebimbangan pelabur berpunca daripada beberapa langkah kerajaan termasuk pertukaran Menteri Kewangan yang dipertikaikan, peningkatan defisit bajet akibat perbelanjaan sosial besar-besaran serta pengukuhan peranan kerajaan dalam ekonomi melalui penubuhan dana kekayaan negara, Danantara.
Sebahagian dividen syarikat milik negara turut dialihkan ke dana itu, bukannya disalurkan terus ke bajet kerajaan.
Situasi ini meningkatkan risiko Indonesia diturunkan taraf oleh MSCI daripada status pasaran pesat membangun kepada pasaran kecil, satu langkah yang boleh menjejaskan aliran pelaburan asing.
Tekanan turut dirasai nilai rupiah yang mencatat penurunan ketara berbanding dolar AS.
Namun begitu, Indonesia masih dilihat mempunyai daya tarikan jangka panjang berikutan pasaran domestik yang besar, permintaan tinggi terhadap komoditi seperti minyak sawit dan nikel serta perkembangan pesat industri kenderaan elektrik.