31 JAN : Penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM untuk mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM bagi menjamin keselamatan digital.
“Peralatan SIM Box serta penggunaan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing sering disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan kegiatan seperti penipuan dalam talian dan jenayah dalam talian yang lain.
“Penyalahgunaan ini memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyalahgunaan telekomunikasi termasuk peralatan SIM Box dan kad SIM yang digunakan bagi tujuan jenayah dan aktiviti penipuan dalam talian.
“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan pengguna,” kata MCMC.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan sebanyak 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad sim dan kelengkapan berkaitan dirampas dalam satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan baru-baru ini di Kajang.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi, serta memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
*FOTO : MCMC