3 FEB : Toleransi beragama perlu terus dipelihara di negara ini bagi mengekalkan keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata umat Islam juga dituntut menghormati penganut agama lain supaya agama Islam itu sendiri turut dihormati.
“Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam harus memperlihatkan contoh yang baik, contoh itu bukan hanya akhlak yang berdasarkan akhlak Rasulullah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Baharu Fasa 1 Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat) di Brickfields, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan umat Islam bertanggungjawab untuk membina kemajuan tanpa kehilangan arah, mengejar dunia tanpa menggadai akhirat serta membangun negara tanpa meruntuhkan nilai.
Ahmad Zahid turut menyebut keunikan kawasan Brickfields itu di mana terdapat masjid, gereja, kuil dan tokong berdiri berdekatan.
“Oleh itu, peluasan surau ini perlu hadir dengan amanah yang lebih besar, bukan hanya tempat ibadah, tetapi tempat membentuk akhlak, adab dan kefahaman hidup bermasyarakat.
“Di sinilah nilai toleransi beragama dipupuk, nilai Islam dizahirkan melalui sikap saling menghormati, budi pekerti yang baik dan keupayaan hidup bersama secara harmoni tanpa mengorbankan prinsip agama,” katanya.
Beliau berharap Madrasathul Gouthiyyah itu dapat berperanan dalam memartabatkan syiar Islam dan membawa kebaikan kepada warga kota khususnya masyarakat Islam di Bandaraya Kuala Lumpur.
