3 FEB : Pemotongan gaji secara sukarela dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kelangsungan serta peluasan program wakaf al-Quran di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026 di Nasyrul Quran, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sumbangan konsisten melalui Skim Potongan Gaji (SPG) mampu memberi impak besar untuk jangka panjang.
“Akan diusahakan supaya pemotongan gaji dapat dilakukan bukan hanya kepada pegawai kerajaan, tetapi juga kepada eksekutif serta pekerja di sektor swasta.
“Saya berharap pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) yang akan menguruskan pemotongan gaji ini, tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Nasyrul Quran,” katanya.
Katanya, mekanisme kutipan wakaf itu perlu dirangka secara inklusif, mudah dan diyakini.
Mengulas soal program Wakaf al-Quran, Ahmad Zahid berkata ia merangkumi usaha penghasilan mushaf dan menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa untur diedarkan ke negara minoriti Islam.
“Pengedaran al-Quran ini akan dihantar ke negara-negara yang umat Islamnya berada dalam kelompok minoriti, supaya mereka turut mendapat akses kepada mushaf al-Quran yang sempurna,” katanya.
Beliau turut menyeru pempengaruh media sosial mengajak pengikut masing-masing untuk turut menyumbang sekurang-kurangnya senasakah al-Quran untuk diwakafkan.
“Gunakanlah peluang ini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, untuk mengajak masyarakat menyumbang wakaf al-Quran.
Walaupun secara tidak langsung, ia mampu memberi impak besar kepada kelangsungan program ini,” katanya.