4 FEB : Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu dilantik, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berikrar akan melakukan pembersihan secara menyeluruh dalam pasukan pertahanan negara itu selepas terpalit dengan pelbagai isu integriti.
Menurut Malek, tindakan itu menjadi agenda utama beliau dalam melaksanakan tugas tersebut.
Tegasnya, tiada sebarang kompromi terhadap pelanggaran dan salah laku dalam ATM.
“Saya berjanji kami akan buat ‘total clean up’. Kita tidak akan berkompromi dengan apa yang berlaku sama ada pelanggaran tata kelola, melibatkan perkara sumber manusia, rancangan pembangunan urusan kewangan atau perolehan dalam ATM dan Kementerian Pertahanan.
“Pelantikan saya sebagai PAT adalah satu penghormatan dan amanah yang besar dan saya berdiri di sini hari ini untuk memikul tanggungjawab memimpin ketiga-tiga cabang perkhidmatan di bawah perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
“Panglima Tentera bukan tugas yang mudah terutamanya dalam keadaan sekarang. Tetapi dengan kerajaan yang ada, kepimpinan tertinggi negara, Menteri Pertahanan dan seluruh warga pertahanan, insya-Allah kita akan kembalikan keyakinan rakyat terhadap ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melapor diri sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Wisma Pertahanan, hari ini.
Menyentuh soal beberapa kes yang dikesan berlaku, Malek berkata ia ruang untuk memperbaiki apa yang perlu.
“Alhamdulillah, ada hikmahnya apa yang berlaku. Ini mengajar kita untuk melihat kembali dan bermuhasabah, sama ada sebagai individu atau organisasi supaya kita lebih stabil dan bersedia.
“Ini masanya kita perbetulkan kembali apa yang salah, kita uruskan apa yang berlaku itu dan kita bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau juga bertegas ATM mengambil maklum keresahan masyarakat yang juga antara pemegang taruh terbesar kepada keselamatan negara.
“Kita akur dan faham kerisauan rakyat, perkara yang berlaku itu adalah satu ‘wake up call’ kepada pengurusan ATM terutama membabitkan tatakelola, integriti, perolehan, pembangunan dan pengurusan kewangan,” katanya.