‘Pendidikan ini sepatutnya semurah mungkin’
4 FEB : Kos pengajian tinggi sepatutnya ditawar serendah mungkin terutama bagi pelajar yang kurang berkemampuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mencari jalan untuk meningkatkan bantuan pendidikan percuma kepada pelajar miskin seperti yang dilaksanakan tahun lalu.
“Pendidikan ini sepatutnya semurah mungkin. Kalau boleh berikan kemudahan kepada semua yang perlukan bantuan. Tapi bila kita bentuk kerajaan, kita lihat tanggungjawab sampai puluhan bilion hutang.
“Tahun lalu, saya putuskan kita beri pendidikan percuma kepada pelajar miskin daripada 5,000 kepada 10,000 orang. Saya ada bincang dengan MoF untuk mencari jalan meningkatkan lagi bantuan untuk pelajar miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena program Temu Anwar@ Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), hari ini.
Menurutnya, syor memberi pendidikan percuma juga sedang diteliti namun dalam keadaan PTPTN menanggung beban kewangan sehingga RM10 bilion, ia hanya boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Ada dibangkitkan oleh anak-anak tadi mengenai bagaimana bagi (tukar PTPTN kepada biasiswa) kepada pelajar cemerlang.
“Betul, itu boleh juga dipertimbangkan tapi dalam situasi kita berdepan masalah pada sekarang ini (beban kewangan PTPTN), kita cuba selesaikan perkara ini mengikut peringkat,” katanya
Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pentadbirannya giat membanteras rasuah bagi mendapatkan kembali dana kerajaan yang tiris.
Katanya, tahun lalu, kerajaan berjaya menyelamatkan sekitar RM15.5 bilion yang boleh digunakan untuk membantu rakyat.
Dalam program sama, Anwar turut mengumumkan pengecualian cukai selama 10 thun bagi semua badan dan yayasan pendidikan terbabit dalam inisiatif pendidikan.
“Seperti mana kita umumkan, semua badan-badan dan yayasan pendidikan dengan peraturan ditetapkan oleh MOF…kalau tujuan itu untuk pendidikan seperti mana Yayasan TAR, kita luluskan pengecualian cukai 10 tahun,” katanya.
