4 FEB : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan di lapangan terbang sebagai langkah pencegahan awal penularan virus Nipah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu diambil ketika ini meski Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan saringan tersebut.
Tegasnya, ia bagi mengelakkan kemungkinan ada kes yang terlepas masuk ke negara ini terutama melibatkan pengembara dari India dan Bangladesh.
“Kita mengambil pendekatan proaktif dan prakecualian dari segi tahap kesiapsiagaan, di samping memastikan saringan awal dapat dilakukan terhadap sebarang kemungkinan.
“Langkah saringan ini khususnya melibatkan individu yang tiba dari India dan Bangladesh sebagai usaha pencegahan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026, hari ini.
Terdahulu, beberapa negara di Asia dilaporkan giat menjalankan saringan di lapangan terbang masing-masing selepas dua kes dikesan di India.
WHO sebelum ini dilaporkan menyifatkan risiko penularan virus Nipah dari India adalah rendah.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kesiapsiagaan sistem kesihatan negara ketika ini mencukupi bagi menghadapi penularan virus itu.
“Ia merangkumi pengawasan berterusan, pengesanan awal, pengurusan kontak sekiranya berlaku kes, pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP), kesiapsiagaan fasiliti serta komunikasi risiko yang berkesan.
“Oleh itu, kami sangat yakin bahawa persiapan dan kesiapsiagaan yang telah dibuat adalah mencukupi.
“Sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, kami akan segera melaksanakan langkah kawalan yang perlu.
“Buat masa ini, kementerian berada dalam mod berjaga-jaga tinggi dan jika dirasakan perlu, kami akan terus bertindak. Itu yang paling mustahak,” kataya.
*FOTO : FACEBOOK KKM