5 FEB : Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dilantik sebagai Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu diumum Pengerusi BBC, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Mohd Isam diyakini mampu memainkan peranan dalam memperkukuh penyelarasan organisasi BBC serta menyokong gerak kerja Ahli Parlimen Kerajaan MADANI secara lebih tersusun.
“BBC komited untuk terus menjadi wadah penyelarasan, sokongan dasar dan komunikasi strategik antara ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan kestabilan politik.
“Begitu juga agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Menurut Zaliha, tumpuan akan diberi BBC terhadap perancangan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Selain itu, beberapa perkara lain turut diberi tumpuan termasuk usaha memperkukuh naratif dasar kerajaan, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan memperkemas kesiapsiagaan jentera ahli Parlimen kerajaan di lapangan.
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa BBC yang dihadiri Ketua Whip bagi setiap parti dalam kerajaan serta ahli Parlimen Bebas yang menyokong Kerajaan MADANI membincangkan pengukuhan peranan BBC sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan agenda reformasi, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
“Mesyuarat turut meneliti pelaksanaan program turun padang bersama rakyat serta program pengukuhan aktiviti antara ahli BBC bagi mengeratkan lagi ukhuwah dan kerjasama rentas parti dalam kerajaan MADANI.
“Ia termasuk pelaksanaan program libat urus secara bersepadu membabitkan ahli Parlimen kerajaan,” katanya.
Tambahnya, BBC terus komited untuk menjadi wadah penyelarasan, sokongan dasar dan komunikasi strategik antara ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan kestabilan politik serta agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat dan negara.