5 FEB : Isu berkait pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) masih dianggap pramatang untuk dibawa ke Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu masih di peringkat kajian dan belum dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Hannah Yoeh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.
“Kabinet belum membincangkan, jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan membentang dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di Parlimen.
Namun Fahmi berkata kerajaan sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan selain tidak menghalang pembangkang membangkitkan isu tersebut di Parlimen.
“Kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.
“Cuma waktu ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIA, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya.
