6 FEB : Perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ diputuskan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan perkataan tersebut ke dalam peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) .
Seksyen 233 itu memperuntukkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sebarang komunikasi dalam talian yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain menjadi suatu kesalahan jenayah.
Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas membenarkan sebahagian rayuan Kerajaan Malaysia.
Keputusan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membatalkan kedua-dua perkataan tersebut dalam Seksyen 233 AKM.
Pada tahun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam seksyen itu tidak berperlembagaan.
Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan dua perkataan itu selepas membenarkan rayuan seorang aktivis, Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman tersebut pada tahun 2023.
Heidy sebelum ini mempertikai penggunaan perkataan tersebut yang didakwa bercanggah dengan hak asasi manusia.