6 FEB : Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bahagian Kluang berkubur selepas kesemua ahli termasuk ketuanya mengumumkan keluar parti bagi menyertai UMNO.
Ketuanya, Shikh Mohd Farkhann berkata tindakan bersama kira-kira 100 ahli MUDA itu dibuat selepas melihat UMNO sebagai parti yang inklusif dan sayap pemudanya lebih berani.
Beliau juga menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang ikhlas dalam perjuangan dan bersedia memberi peluang untuk membimbing sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Dengan penyertaan kami ke dalam UMNO, maka MUDA di Kluang berkubur secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata MUDA sukar untuk bertanding solo pada pilihan raya akan datang selepas dilabel tiada pendirian dan hala tuju jelas.
“Jika MUDA bertanding secara solo dalam keadaan semasa akan menghadapi kesukaran kerana ramai pengundi muda melabelkan parti ini sebagai tiada pendirian serta hala tuju yang jelas.
“Malah, sesetengah dasar dilihat terlalu banyak berkompromi. Oleh itu, walaupun MUDA bertanding secara bebas, amat sukar untuk segera membalikkan persepsi negatif yang terbentuk ini,” katanya.