KENYATAAN MEDIA
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Ungkapan seperti Alhamdulillah dan insya-Allah pada hakikatnya merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan dan pujian kepada Allah SWT. Dari sudut bahasa dan adat, ungkapan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.
Dalam masyarakat majmuk, hukum penggunaan kalimah ini oleh bukan Islam bergantung kepada konteks dan niat, selaras dengan kaedah fiqh: ‘Ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata lafaz.’
Ia dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab, dan menghormati makna asal, tetapi tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna, kerana boleh merendahkan kesucian agama.
Menurut Yusuf al-Qardawi dalam Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi alMujtama‘ al-Islami, lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi ia tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama. Para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum perlu mengambil kira niat, maksud, dan konteks masyarakat.
IKIM menasihatkan umat Islam mengamalkan sikap husnuzon (bersangka baik) dan berhikmah dalam isu ini. Nabi Muhammad SAW memahami dan mendoakan hidayah bagi bukan Muslim, selagi ungkapan mereka tidak menghina atau menyalahi akidah. Masyarakat bukan Islam juga perlu dididik memahami makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan. Pendekatan ini bukan sahaja menjaga kesucian lafaz Allah, malah merupakan cara dakwah yang beradab, hikmah, dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.
Sekian, terima kasih.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil