7 FEB : Sebanyak 1,493 kandungan berkaitan agama, raja dan kaum (3R) berjaya diturunkan sepanjang 1 Januari 2025 sehingga 31 Januari 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ia sebahagian daripada 2,486 aduan pemohonan bagi penurunan kandungan sensitif yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada pengendali platform.
Menurut Fahmi, meski rakyat berhak untuk bersuara seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini namun ia bukan kebebasan mutlak untuk memfitnah atau mencetuskan provokasi melampau khususnya menyentuh sensitiviti 3R.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kita ada hak untuk bersuara, tetapi tidak ada hak untuk memfitnah atau mengeluarkan kata-kata bersifat 3R.
“Walaupun kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1), yang tidak lagi mengguna pakai perkataan jelik, tetapi menggunakan jelik melampau, masalah ataupun mesej 3R itu masih dianggap satu jenayah dan boleh diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Fahmi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap sebarang kegiatan penipuan dalam talian yang dijangka meningkat.
Katanya, penjenayah mengambil kesempatan menjelang musim perayaan di mana orang ramai mengeluarkan wang bagi perayaan tersebut.
“Sekiranya anda menjadi mangsa, segera hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) di 997 dalam tempoh 30 minit bagi membolehkan aliran keluar dana disekat.
“Berhati-hati dengan sebarang mesej yang diterima termasuk melalui aplikasi WhatsApp, SMS dan juga media sosial.
“Kita jangkakan akan ada peningkatan membabitkan penipuan dalam talian terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Selain itu katanya, MCMC juga sudah mengarahkan syarikat telekomunikasi agar tidak membenarkan sebarang penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pautan bagi membendung penipuan.