7 FEB : Kerajaan mengesan trend penyalahgunaan pas lawatan sosial kian meningkat meski tidak ketara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata selain bekerja terdapat juga individu yang masuk menggunakan pas sosial yang berniaga di negara ini.
“Trend kesalahan ini menunjukkan sedikit peningkatan walaupun tidak ketara. Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Imigresen telah menjalankan operasi penguatkuasaan dan mendapati pelbagai kes, termasuk masuk tanpa dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa.
“Ada juga yang masuk sebagai pelancong, bekerja mengambil tempahan perabot atau hiasan dalaman, kembali ke negara asal untuk menyiapkan tempahan dan kemudian datang semula menawarkan harga yang jauh lebih murah. Ini memberi kesan kepada peniaga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek sakit Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar, Kedah, hari ini.
Justeru itu katanya, Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“KDN terlibat sebagai agensi penguatkuasaan kerana kita mempunyaiAgensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Imigresen.
“Di bawah Akta Imigresen, individu yang menyalahgunakan pas sosial melakukan kesalahan undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata meski Malaysia mengalu-alukan pelawat atau pelancong ke negara ini namun mereka perlu menghormati undang-undang negara.
“Setiap individu yang memasuki negara perlu mempunyai pasport dan apabila berada dalam negara, mereka mesti memiliki pas yang sah iaitu pas pelajar, pas ekspatriat, pas lawatan kerja atau pas sosial.
“Sekiranya seseorang masuk menggunakan pas sosial, mereka tidak dibenarkan untuk bekerja atau berniaga. Hal ini juga diamalkan di negara lain,” katanya.
Tegasnya, KDN akan memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan sekiranya tangkapan dibuat, proses undang-undang akan dilaksanakan.