9 FEB : Kerajaan meningatkan orang awam agar berhati-hati menjelang musim perayaan dan pemberian bantuan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tempoh ini dianggap musim ‘memancing’ bagi aktiviti penipuan.
“Sudah pasti ibu bapa akan keluarkan duit membuat persiapan bagi perbelanjaan harian, persiapan hari raya, isi ‘ang pau’ dan pembelian barang keperluan perayaan.
“Berwaspadalah kerana pada waktu ini scammer akan berleluasa dan anggap ia musim ‘memancing’.
“Sekiranya menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) mengandungi pautan (hyperlink), jangan tekan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) di pada Ahad.
Menurut Fahmi, sebarang SMS rasmi yang dihantar kini tidak lagi mengandungi sebarang pautan.
Justeru itu katanya, jika SMS diterima mengandungi pautan ia berkemungkinan daripada sindiket penipuan yang berada berhampiran lokasi mangsa yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) untuk menghantar mesej memperdaya mangsa.
“Sila berhati-hati dan jangan menjadi mangsa scam. Sekiranya menjadi mangsa, National Scam Response Centre (NSRC) sedia membantu.
“Dengan pembukaan pejabat baru dan penambahan anggota, NSRC kini boleh menerima panggilan 24 jam.
“Laporkan kepada NSRC dalam masa 30 minit membolehkan pihak berkuasa menahan aliran keluar wang dan kembalikan duit anda,” katanya.
Hari ini, Kementerian Kewangan mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua sebanyak RM100 mula disalurkan hari ini kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berhasrat untuk meringankan beban rakyat sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba melalui penyaluran SARA RM100 itu.
