9 FEB : Kewarganegaraan automatik bagi anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang berkahwin dengan bukan warganegara dijangka berkuat kuasa 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata pindaan itu kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
“Apabila kita pinda Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan, hasilnya adalah sekarang ini kita dalam proses memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah kewarganegaraan bagi membolehkan nanti sistem dalam talian sebagai sistem pra-pendaftaran boleh digunapakai dan sebagainya.
“Jadi kita sedang dalam peringkat akhir bagi mendapatkan perkenaan Yang Di-Pertuan Agong.
“Itu satu keperluan dan kita jangkakan 1 Jun 2026 kita boleh melaksanakan, selaras peruntukan 1(2) akta terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pengulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kewarganegaraan automatik dapat diberi sekiranya memenuhi garis panduan yang ditetapkan.
Sepanjang 2023, KDN mensasar untuk menyelesaikan 10,000 kes namun sebanyak 11,711 kes dapat diselesaikan manakala pada tahun 2024, Saifuddin berkata beliau meletakkan sasaran 17,000 kes tetapi 20,701 kes berjaya diselesaikan.
“Tahun 2025 sasaran kita 20,000, kita selesaikan 20,032 kes. Semua ini kita capai dalam masa tiga tahun.
“Secara kebetulan tempoh ini hampir menyamai lapan tahun pemerintahan terdahulu, iaitu 55,041 keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata baki permohonan yang masih tertunggak setakat 31 Disember adalah 3,738 kes.