PBT dibenar bersihkan kuil dibina tidak ikut peraturan
9 FEB : Kerajaan memberi kebenaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tugas ‘pembersihan’ itu bukan peranan mana-mana pihak yang membantah pembinaan berkenaan.
“Saya dengan ini, mahu umumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan (pembinaan) yang tidak mengikut peraturan dan Majlis Bandaran diberi keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu tindakan ini akan mengundang kontroversi, sebab itu saya ingatkan…ada yang sampai berkempen hendak robohkan kuil, itu bukan kerja kamu.
“Kita negara yang ada hukum. Kalau hendak tunjuk hero atau pejuang Islam, buat dakwah dengan baik, tunjuk peribadi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perjumpaa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.
Tegasnya, pembinaan mana-mana rumah ibadat di negara ini perlu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan sebelum ini lagi.
“Masjid nak dibangunkan (kena) ikut peraturan, gereja nak dibangunkan (kena) ikut peraturan. Maka, semua (rumah ibadat) yang lain pun begitu juga.
“Harus cari jalan penyelesaian bukan pergaduhan. Kalau ada orang langgar (peraturan), apa kita ambik tindakan? Kita jalur hukum, bawa kepada lembaga yang sah, ikut peraturan.
“Ini bukan perkara baru. Timbul, muncul seolah-olah baru berlaku semalam, hanya di bawah PMX berlaku kacau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen agama atau menghina mana-mana agama.
“Ini saya hendak beri contoh… tidak mudah kerana kita sering diheret oleh sentimen kaum yang keterlaluan.
“Jadi saya jelaskan sekali lagi, dasar kerajaan jelas. Jangan ganggu atau hina mana-mana agama,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA