9 FEB : Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua sebanyak RM100 mula disalurkan hari ini kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan SARA untuk Semua bagi fasa kedua itu melibatkan sebanyak RM2.2 bilion.
“Kerajaan MADANI menyalurkan SARA untuk Semua mulai hari ini, 9 Februari 2026.
Dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion, lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa dapat memanfaatkan kredit sekali beri RM100 SARA untuk Semua yang sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.
“Dengan SARA untuk Semua, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA untuk Semua secara keseluruhan tidak termasuk bantuan SARA Bulanan jika berkelayakan,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, menurut MoF, Kerajaan MADANI melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian selepas mengambil kira maklum balas rakyat.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, Kerajaan MADANI bersetuju untuk meluaskan kategori barangan SARA untuk merangkumi makanan sejuk beku (frozen food).
“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas. Penambahan kategori frozen food turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan,” menurut MoF.
MoF berkata selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer (km) kepada 7 km.
MoF berkata orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) berkenaan SARA untuk Semua melalui portal rasmi SARA https: www.mof.gov.my
Selain itu, MoF turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” menurut kenyataan itu lagi.