Kedudukan CPI Malaysia cermin usaha perangi rasuah berkesan
10 FEB : Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 yang melonjak ke tangga ke-54 mencerminkan keberkesanan usaha Kerajaan MADANI membanteras rasuah serta memperkukuh tadbir urus negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan itu turut didorong tindakan penguatkuasaan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ini termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan yang sudah lama menjejaskan kewangan awam.
“Alhamdulillah, kedudukan Malaysia dalam CPI dunia melonjak ke kedudukan 54, mencerminkan usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.
“Kerajaan MADANI juga tidak akan berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Terdahulu, Transparency International Malaysia (TI-M) mengumumkan Malaysia mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata pada 2024 dan 2023 dalam CPI 2025 selepas melonjak kedudukan ke tangga 54 berbandingtangga ke-57 pada tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang.
“Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.
Menurutnya lagi, pencapaian negara itu juga merupakan peringatan agar usaha memerangi rasuah diperkukuh secara konsisten dan berani bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.
