10 FEB : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) di sekitar kawasan Bukit Chagar, Johor Bahru.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dilaksanakan susulan maklumat yang diterima serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian oleh MCMC yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran SMS palsu kepada pengguna.
“Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada hari ini, pasukan penguat kuasa sudah mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.
“Maklumat yang diperoleh turut menunjukkan bahawa individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik yang digunakan oleh sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MCMC berkata penemuan itu mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.
Kes itu diambil tindakan di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.
“Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna dan memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara,” menurut MCMC.
*FOTO : MCMC