10 FEB : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah negeri itu.
Melalui satu kenyataan, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata perkara itu susulan aktiviti tersebut boleh menyebabkan pencemaran.
“Baginda menegaskan bahawa baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.
“Ini adalah kerana penternakan babi ini boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” menurut Munir dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Munir berkata pencemaran juga boleh berlaku terhadap kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih.
“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
“Di samping itu ianya boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Mengulas lanjut, Munir berkata meski pencemaran udara dan air boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden namun ia menelan biaya yang besar yang tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana penternak jika hanya untuk bekalan daging babi di Selangor.
“Tiada jaminan penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di negeri ini yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Justeru itu katanya, baginda menyarankan kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Negeri Selangor sahaja.
“Kaedah ini bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.
“Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Oleh itu semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.