Tangani isu sensitif dengan adab, tidak hina agama
11 FEB : Sebarang isu sensitif di negara ini perlu ditangani dengan penuh adab tanpa menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meski Islam itu agama Persekutuan dan majoriti rakyat di negara ini beragama Islam, ia bukan tiket untuk menghina amalan agama lain dan begitu juga sebaliknya.
“Mutakhir ini, seperti mana semua tahu, hangat diperkatakan mengenai soal rumah ibadat yang tidak ikut peraturan dan juga soal ladang ternakan babi.
“Dalam masa yang sama, kita tahu peraturan apa yang boleh, apa yang tidak boleh, tetapi kita kena tangani dengan baik dan hormat serta jangan sampai menghina.
“Sebab itulah, apabila ada masalah, kita tangani dengan baik kerana ini adalah negara yang berteraskan kepada undang-undang.
“Setiap isu, kontroversi serta perbezaan pandangan perlu ditangani berdasarkan lunas perundangan demi memelihara kestabilan, kesucian agama serta perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baru CinaDewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), malam ini.
Selain itu, Anwar menegaskan undang-undang perlu dihormati dan tiada pembinaan rumah ibadah yang dibenarkan jika tidak mengikut prosedur ditetapkan kerajaan.
“Sebagaimana tokong Cina, gereja Kristian, masjid dan surau mematuhi peraturan, begitu juga kebanyakan kuil Hindu mematuhinya.
“Jika peraturan tidak dihormati, ia akan menimbulkan masalah. Negara ini mesti berasaskan undang-undang, bukan kehendak atau emosi mana-mana individu,” katanya.
Namun beliau sempat mengingatkan agar mana-mana pihak terlibat tidak bertindak sendiri melangkaui tugas pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri. Undang-undang mesti dihormati dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.
“Malaysia mesti kekal sebagai negara aman yang mematuhi undang-undang. Sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, bukan individu,” katanya.