12 FEB : Bukti perlu dikemukakan oleh pihak yang membuat menuduh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki saham di beberapa syarikat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat terhadap Azam.
“Pihak yang membuat tuduhan terhadap Azam perlu mengemukakan bukti terlebih dahulu.
“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita biarkan proses undang-undang berjalan. Sekarang ini, beban ke atas pihak yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti.
“Ketika ini, saya belum dimaklumkan lagi tentang sebarang laporan polis dibuat berkait Azam Baki,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini dalam laporannya mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity dengan nilai pegangan dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau sudah tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.