14 FEB : Komunikasi dan hebahan usaha reformasi tatakelola baik kerajaan perlu dipergiat secara proaktif bagi membentuk persepsi baik.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelbagai platform sedia ada perlu dimanfaatkan untur menyalurkan maklumat kepada rakyat.
“Peningkatan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 mencerminkan keseriusan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan tatakelola, integriti serta agenda pembanterasan rasuah pada peringkat nasional.
“Komunikasi strategik memainkan peranan sangat penting dalam membentuk persepsi baik.
“Kepelbagaian platform media, terutama media sosial yang kini menjadi medium utama, berperanan besar dalam mempengaruhi pandangan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI Siri 4 Bil 1/2026, hari ini.
Menurut Shamsul Azri pencapaian CPI 2025 itu juga hasil kerja keras Pasukan Petugas Khas CPI dalam menyelaras usaha bagi meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap Malaysia.
Katanya, antara usaha reformasi membanteras rasuah dilaksanakan adalah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 dan pindaan Akta Audit 1957.
“Misalnya, pindaan Akta Audit 1957 memperluaskan kuasa pengauditan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pelaksanaan usaha-usaha reformasi institusi dan perundangan.
“Reformasi itu merangkumi penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, usaha ke arah penubuhan Ombudsman Malaysia, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta komitmen melaksanakan pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya,” katanya.
Pada mesyuarat itu, pembentangan Transparency International Malaysia (TI-M) berkait prestasi CPI Malaysia dan analisis dapatan survei serta hala tuju pelaksanaan setiap Kumpulan Fokus (FG) bagi 2026 juga diteliti.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berharap ahli Pasukan Petugas Khas CPI dapat menjalankan tugas sebaiknya.
“Peningkatan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI bukan sekadar angka tetapi mencerminkan tahap keyakinan komuniti global terhadap sistem tatakelola negara kita.
“Saya berharap semua ahli Pasukan Petugas Khas CPI, termasuk enam Kumpulan Fokus (FG) CPI dapat memberi komitmen penuh, memperkemas penyelarasan antara agensi, serta memastikan mesej pembaharuan kerajaan sampai dengan jelas kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
