14 FEB : Kerajaan memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM20 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan itu bagi menambah baik kemudahan dan keperluan asas sekolah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu juga merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan, dan memastikan kemudahan sekolah terus dipertingkatkan selaras prinsip Malaysia Madani.
“Saya umumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada SMJKC untuk menambah baik kemudahan asas dan keperluan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Ihya’ Ramadan di SMJKC Yuk Choy, hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan kepentingan untuk sistem pendidikan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan dilengkapi dengan disiplin, akhlak dan sikap saling hormat.
“Kita satu negara dengan pelbagai kaum dan agama. Pendidikan mesti mendidik supaya kita saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.