14 FEB : Umat Islam di negara ini diajak mencabar diri untuk meningkatkan martabat masing-masing sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian prestasi masing-masing boleh dibuat sendiri pada penghujung bulan mulia itu.
“Di antara kita ada yang sudah 10 kali Ramadan, 20 kali Ramadan, ada yang 50 kali Ramadan atau lebih macam saya.
“Boleh tak kita letak markah? Markah kita sama macam 20 tahun dulu? Solatnya, baca Al-Quran, kebersihan jiwanya, roh perjuangannya…sama? kalau sama…kita sudah masuk sekolah ada ujian 20 kali tapi tidak angkat martabat kita. Ini cabaran kepada saya dan kepada semua.
“Ulama kata puasa itu kesempatan untuk kita dapat latihan tanpa kecuali menteri, pegawai, ulama, mesti balik ke sekolah Ramadan. Sekolah Ramadan ini ertinya kita guna kesempatan Ramadan itu untuk meningkatkan darjat amalan kita.
“Bagaimana kita boleh tahu? Kita yang boleh menilai. Akhir bulan, insya-Allah kita hidup dan sihat, kita boleh buat penilaian. Cabar diri sendiri, apakah aku mampu jadi lebih baik daripada aku yang sebelum Ramadan?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan Warga Padang Rengas bersama Perdana Menteri di Padang Rengas, hari ini.
Menurutnya, agama lain juga mengamalkan puasa seperti dalam Islam, namun amalan puasa pada bulan Ramadan bertujuan mengangkat diri penganutnya ke darjat ketakwaan kepada ALLAH SWT.
“Bagaimana kita nak capai dengan keikhlasan kita? Dengan menganggap amal itu suatu amalan yang serius bukan ritual biasa. Tetapi memberi makna dan kesan yang lebih mendalam.
“Berbeza ada yang ‘intermitten fasting’, ada puasa kerana diebetis dah tinggi. Tiada yang salah tapi matlamat ramadan ini untuk mengangkat diri kita ke darjat ketakwaan Allah SWT.
“Ini yang membezakan amalan bulan Ramadan oleh umat Islam dengan kepercayaan lain yang juga ada puasa masing-masing,” katanya.
Menurut Anwar, meski di sebalik kesibukan urusan harian, amalan yang dapat mengimarahkan bulan mulia itu tidak seharusnya dilupakan.
“Kita semua sibuk tapi jangan lupa amalan untuk memastikan terangkatnya darjat kita itu, pastikan mengimarahkan Ramadan ini di masjid dengan solatnya, dengan Al-Qurannya dan dengan kefahamannya.
“Kalau tidak, bagaimana negara ini boleh muncul sebagai negara hebat? Sama sahaja. Semangatnya sama, kerjanya pun sama…ikhtiarnya pun sama. Tak mungkin martabat negara ini dapat diangkat,” katanya.