17 FEB : Lima sekeluarga ditemui maut dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai, Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata insiden sekitar jam 7 pagi tadi melibatkan membabitkan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 3 dan 4 tahun, pasangan suami isteri serta seorang wanita berusia 55 tahun.
Menurut Yahaya, mayat pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 28 tahun dengan dua kanak-kanak itu ditemukan di dalam bilik sementara wanita berusia itu dijumpai di dapur.
Yahaya berkata, lelaki tersebut dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya dengan senjata tajam disyaki pisau sebelum menikam diri sendiri.
“Terdapat mangsa yang mempunyai kesan kelar dan kejadian itu disedari oleh adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang berada di rumah itu ketika kejadian sebelum bertindak meminta bantuan.
“Siasatan awal turut mendapati lelaki itu baru sebulan berpindah menetap di rumah keluarganya selepas berhenti kerja di Selangor dan baru seminggu memulakan kerja di Kuantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak masalah kewangan atau keluarga menjadi punca kejadian tersebut.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk faktor masalah keluarga atau kewangan.
“Semakan awal juga mendapati tiada rekod masalah mental dikesan terhadap lelaki berkenaan,” katanya.