17 FEB : Pemuda UMNO mencadangkan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki direhatkan sementara sepanjang proses siasatan berjalan.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah itu bagi menjaga integriti dan kredibiliti suruhanjaya itu sebagai agensi utama membanteras rasuah di negara ini.
“Hari ini, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar apa keputusan siasatan tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan.
“Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan.
“Sehubungan itu, dengan penuh hormat dan tegas, Pemuda mencadangkan supaya jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, dengan Azam Baki berehat, ia memberi ruang kepada siasatan berjalan dengan lebih bebas dan telus.
“Kepada Tan Sri Azam Baki, prinsipnya mudah, berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.
“Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus, dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat.
“Namun jika sebaliknya berlaku, maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi. Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras,” katanya.
Selain itu, Akmal berkata ia bukan juga soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan kerajaan menyiasat kerajaan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam Baki itu dan akan dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.